Thursday, October 16, 2014

SEMINAR PEMIKIRAN TOKOH NEGARAWAN ASEAN 2014 MERINTIS KESATUAN TAMADUN ASEAN. BY: DANALAXIMII ARISKRISHNAN

UUM ONLINE: 22 September - Bertemakan 'Merintis Kesatuan Tamadun ASEAN', Seminar Pemikiran Tokoh Negarawan ASEAN anjuran Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Arkib Negara Malaysia menjadi medan perkongsian ilmu dan ketokohan negarawan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam pembentukan dasar pentadbiran negara yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini di EDC-UUM.Seminar yang disertai enam negara selain Malaysia iaitu Thailand, Indonesia, Laos, Filipina dan Vietnam telah menghimpunkan ahli akademik, pakar sejarah, pertubuhan bukan kerajaan, agensi-agensi daripada perkhidmatan awam dan swasta serta pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
Perasmian Seminar Pemikiran Tokoh Negarawan ASEAN telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Dato' Ab. Ghaffar A. Tambi dan turut serta ialah Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, Azemi Abdul Aziz dan Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak.Yang Berbahagia Dato' Ab. Ghaffar berkata, program seumpama itu memberi peluang kepada ahli akademik, ilmuan dan pengkaji sejarah membincangkan pelbagai isu mengenai tokoh-tokoh negarawan di peringkat negara-negara ASEAN yang terlibat dalam memacu dan menentukan hala tuju negara masing-masing.
Menurutnya, pada masa sama seminar itu juga memberi peluang kepada peserta terlibat untuk mengetahui dan menyelami pemikiran, falsafah dan pendekatan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin utama negara ASEAN dalam kerangka yang lebih luas termasuk melibatkan kepentingan serantau."Jika dilihat pada sejarah negara ASEAN, kita dapati setiap negara mempunyai tokoh-tokoh utama yang bertanggungjawab menentukan hala tuju negara masing-masing termasuk Malaysia umpamanya yang mempunyai tokoh negarawan seperti Mantan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang bertanggungjawab meletakkan batu asas kemerdekaan negara ini.""Sesungguhnya ASEAN memiliki ramai tokoh negarawan yang boleh ditonjolkan ke arah kemajuan, kemakmuran dan keselamatan di rantau Asia Tenggara.Saya berharap kerjasama ini akan diteruskan lagi pada masa hadapan bagi mencungkil lebih banyak maklumat bersejarah berkaitan tokoh negarawan ASEAN," katanya.
Sementara itu, Yang Berbahagia Naib Canselor dalam ucapan beliau merakamkan terima kasih kepada Arkib Negara Malaysia kerana memberi kepercayaan kepada UUM sebagai rakan kerjasama dalam penganjuran seminar tersebut yang mana ia akan mengumpulkan kertas kerja secara 'Call For Papers' dan seterusnya diterbitkan sebagai bahan rujukan berkaitan dengan pemikiran tokoh negarawan.Menurutnya, melalui perbincangan tokoh itu, peserta dapat melihat ke belakang perjuangan membangunkan negara oleh tokoh-tokoh terdahulu dan melaluinya kepimpinan pada hari ini akan dapat menggarap idea-idea pembangunan bersandarkan kepada asas yang ditinggalkan kepimpinan terdahulu.
Selain itu, katanya lagi, pemilihan IPDM sebagai rakan kerjasama ini adalah bertepatan dengan visi penubuhan institut tersebut untuk menjadi pusat rujukan utama pemikiran Perdana-perdana Menteri dan tokoh-tokoh negara, malah menerusi seminar itu juga sumbangan yang dimainkan oleh tokoh negarawan dapat disebarkan kepada masyarakat, didokumentasikan dan diterbitkan sebagai khazanah ilmu untuk rujukan generasi akan datang."Seminar ini juga dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara negara-negara ASEAN dan saya berharap pertemuan selama dua hari ini dapat menyumbangkan banyak cadangan dan idea bernas untuk dimanfaatkan dalam membantu memahami usaha mengenal pasti falsafah pembinaan negara bangsa di setiap negara ASEAN," ujar beliau.Di akhir majlis itu, UUM telah memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Arkib Negara Malaysia yang mana UUM diwakili oleh Naib Canselor dan Pengarah IPDM UUM, Prof. Dato' Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz, manakala Arkib Negara Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarahnya bersama Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia, Ihsan Hassan.  

No comments:

Post a Comment